Pisang emas bekal belayar,

Masak sebutir diatas peti;

Hutang emas boleh dibayar;

Hutang budi dibawa mati.

 

Masak sebutir diatas peti,

Buah Menalu dari hulu;

Hutang budi dibawa mati;

Hutang malu dibayar malu.

 

Buah menalu dari hulu,

Batang berah dibelah-belah;

Hutang malu dibayar malu;

Hutang darah dibayar darah.

 

Siapa sangka, pantun ‘pisang emas dibawa berlayar’ adalah pantun yang dilafazkan oleh Puteri Sa’adong (Raja Kelantan yang ditabalkan pada 1667M). Walaupun pantun yang sudah sampai ke telinga kita adalah perkataan ‘dibawa’ dan bukan ‘bekal’ seperti asal yang disebut oleh Puteri Sa’adong, namun ianya tetap membawa maksud yang sama.

Pantun ini dilafazkan Puteri Sa’adng kepada suaminya Raja Abdullah selepas dilepaskan dari cengkaman siam semasa menghadap Raja Abdullah di Kota Mahligai, yang terletak kira-kira setengah batu dari Melor di jalan pasir puteh. Sekarang kawasan Kota Mahligai ini masih lagi disebut dengan nama Kampung Mahligai.

Berlaku perkelahian sengit antara Puteri Sa’adong dan Raja Abdullah apabila Puteri melihat Raja sudah mempunyai isteri mudanya, anak kepada penghulu Ngah dari Jembal. Puteri Sa’adong menganggap suaminya, Raja Abdullah terlalu cepat melupakannya dan mencari pengganti bagi dirinya untuk memperisterikan orang lain, selepas beliau melepaskan dirinya kepada Siam untuk menjaga keamanan rakyat jelatanya.

Sedang dalam perkelahian, Puteri Sa’adong mendapat suatu pukulan dari suaminya. Dalam keadaan itu, pantas Puteri Sa’adong menikam rusuk Raja Abdullah dengan pemachak sanggul rambutnya. Malangnya Raja Abdullah jatuh terhumban lalu mangkat disitu.

Sebelum Raja Abdullah menghembuskan nafas, ketika itulah Baginda Raja Abdullah sempat mendengar tiga rangkap pantun yang dilafazkan oleh Puteri Sa’adong. Bunyinya demikian seperti diatas.


 

Rujukan:

Sa’ad Shukri bin Haji Muda, Detik-Detik Sejarah Kelantan, Kota Bharu: Pustaka Aman Press (1971).

Advertisements