Menjadi seorang rakyat yang menyokong politik tetapi tidak berparti bakal memungkinkan kita dikategorikan sebagai rakyat ‘atas pagar’. Kebanyakan dari kita berfikir rakyat yang menyokong politik ‘atas pagar’ mereka ini seorang yang tidak mempunyai prinsip politik yang baik. Mereka akan dilabel sebagai rakyat yang menyokong politik duit, iaitu mereka akan memilih hanya wakil rayat yang menabur duit kepada mereka sahaja apabila menjelang pilihanraya. Benarkah pandangan kita ini?

13054897
Sumber: http://www.goodreads.com/book/show/13054897-orang-kota-bharu

Sedarkah kita bahawa apa yang digambarkan oleh S. Othman Kelantan tentang budaya pemikiran politik atas pagar melalui novelnya Orang Kota Bharu, mari kita perhatikannya. Watak Habib dibangunkan didalam novel ini, ditonjolkan sebagai seorang yang nasionalis, seorang yang begitu tinggi semangat Melayunya tetapi bertoleransi terhadap kaum Cina yang telah menjadi orang Kelantan, seorang yang tidak dapat bertolak ansur dengan kejahilan dan kebodohan, seorang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik tetapi mengutamakan kebenaran.[1]

Dia (Habib) menjadi rakyat yang bebas dan menyokong kebenaran. Dia berada di atas pagar, dan akan masuk ke dalam pagar mana yang membawa kebenaran. Parti mana yang membawa kebenaran melalui wakil rakyatnya, dia akan menyokongnya. Dia akan mempertahankan kebenaran itu di mana-mana sahaja. Dan dia akan menentang penyelewengan dalam parti mana juga.[2]

Idealisme yang mendokong tinggi nilai politik sebegini yang harus ada dalam pemikiran rakyat di Malaysia hari ini untuk menjayakan masa politik yang lebih baik untuk negara ini. Hal ini sudah diungkap oleh S. Othman Kelantan lama dahulu didalam novelnya ini. Membelek kembali novel lama ini bukan sesuatu yang merugikan.


 

Rujukan:

[1] Kamarudin M. Said, Pondok, Pasar Besar dan Biaritz Park: Pembacaan dan Kajian Budaya Pascamoden Teks Orang Kota Bharu dalam Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2012) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 15

[2] Petikan dari novel Orang Kota Bharu, karya S. Othman Kelantan, hlm 357

 

Advertisements