Siapa sangka negeri Kelantan pernah berada dalam era yang panjang dalam kegemilangannya sebagai sebuah pusat persuratan yang cukup aktif menerbitkan buku, majalah, mengadakan diskusi. Kota Bharu pernah tercatat sebagai sebuah bandar yang memiliki puluhan penerbit buku dan majalah. Didapati bahawa dalam tempoh antara 1876-1941, negeri Kelantan muncul menjadi negeri penerbit majalah yang kelima terbanyak iaitu 12 judul.[1] Selain Kelantan, Singapura (57 judul majalah), Pulau Pinang (32 judul majalah), Johor (37 judul majalah) dan Perak (16 judul majalah).[2]

Malah Dr. Abdul Rahman al-Ahmadi pernah membentang kertas kerja bertajuk “Kelantan Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu Yang Ulung” di majlis Hari Sastera di Kota Bharu yang dianjurkan GAPENA dan beberapa kerjasama badan lain pada tahun 1972. Hal ini menguatkan kita bahawa Kelantan pernah berada pada satu tahap yang penuh kegemilangan dalam membangunkan wacana ilmu.

Dalam tulisan Abdul Razak Mahmud, “Persuratan Islam di Kelantan Mengalami Zaman Malap” yang disiapkan pada 1999, katanya kepada seorang tenaga akademik dari sebuah universiti yang pulang bercuti dan bertamu di pejabatnya di Kota Bharu:

Inilah kenyataan yang ada di hadapan kita sekarang. Semuanya sudah pada memudar dan malap.

Malah selepas mendengar khabar berita kematian Abdullah bin Muhamad (Nakula), kata beliau “Kita sudah kehilangan seorang tokoh penyelidik sejarah dan budaya yang sangat rajin”. Walaupun tidak menafikan bahawa di Kelantan memang terdapat ramai ilmuan Islam, namun hati saya tetap merasakan bahawa kita sedang kehilangan ramai tokoh. Meskipun terdapat ramai ilmuan lain, tetapi mereka tidak menulis.[3]

Apakah kita bakal kehilangan sebuah tradisi gemilang menjelang alaf baru? Inilah pertanyaan yang sering dielak olehnya tetapi terpaksa juga beliau catat pada penghujung makalahnya.[4]

Mungkin sudah ada diantara kita terfikir masih ada penulis Kelantan yang sedang bergiat aktif tetapi sekarang sudah tidak menetap di Kelantan tetapi menetap di kota-kota besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur. Tetapi adakah hal ini juga akan dapat diterjemah kepada pembangunan Kelantan secara keseluruhan? [5]

Jangan nanti tinggallah Kota Bharu dengan peninggalan sejarahnya, serta pasar-pasarnya yang giat dengan jual beli, tetapi tidak lagi menjadi kota yang vibrant dengan kegiatan keintelektualan dan kebudayaan dalam pelbagai segi dan seninya.[6]

Nota Kaki:

[1] Mohamad Mahmud, “Percetakan dan Penerbitan Buku Melayu di Kelantan (1901-1975)” dalam Abdul Razak Mahmud et. al, Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemikiran dan Karya, Kota Bharu: Pustaka Aman Press (2009), hlm 205

[2] Ibid, hlm 206

[3] Abdul Razak Mahmud, “Persuratan Islam di Kelantan Mengalami Zaman Malap” dalam Abdul Razak Mahmud et. al, Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemikiran dan Karya, Kota Bharu: Pustaka Aman Press (2009), hlm 363

[4] Ibid.

[5] Ini persoalan yang dilontar oleh Dr. Azhar Ibrahim dalam makalahnya Kelatan Sebagai Medan Kajian Peradaban Melayu Utara. Makalah ini ditulis beliau sebagai survei bibliografi, beberapa minggu selepas beliau pulang dari Kelantan bersama-sama para pelajarnya National University Singapore (NUS) dan makalah ini belum diterbitkan secara rasmi, beliau hanya berkongsi kepada penulis sahaja.

[6] Ibid.

Advertisements