Kelantan mempunyai sejarah yang panjang dalam proses pembangunan ketamadunan dan kebudayaan. Kelantan sebagai Kerajaan Seri Wijaya Pertama (500M-1450M) dilimpahkan nikmat yang mencurah-curah sebagai negeri pengeluar emas dan tanaman padi sebagai sumber makanan utama.

Kerajaannya sangat kuat dan dapat menakluk kerajaan Langkasuka pada tahun 670 M. Kemudian pada 673 M dengan kekuatan bala tentera seramai 20,000 orang telah menyerang Kerajaan Melayu di Palembang. Sekitar tahun 960 M, penaklukan kuasa dilakukan terhadap kerajaan-kerajaan lain di Sumatera, serta memindahkan ibu kotanya dari Kelantan ke Palembang. Kelantan menjadi ibu kota bagi Kerajaan Seri Wijaya ke-1 manakala palembang menjadi ibu kota ke-2.

Pendapat ahli sejarah yang menyokong bahawa Kelantan adalah tapak pertama Kerajaan Seri Wijaya ialah Dr. Muhammad Yamim dan Dr. Umar Amin Husain. Mereka cenderong kepada teori Professor Dr. Moens yang memberikan pendapat yang sama.

Penggembara China, I-Tsing menulis antara tahun 690-692 M, daerah Melayu telah dimasukkan kedalam kerajaan Seri Wijaya. Ini beerti kedatangan I-Tsing pada kali kedua apabila Kerajaan Seri Wijaya sudah menubuhkan pusat pemerintahan barunya di Palembang.

Kuala-Krai.8

Dipercayai, Ibu kota pemerintahan Kerajaan Seri Wijaya di Kelantan terletak di Kuala Krai. Kelantan dalam pandangan geografi hari ini berbeza dengan pandangan geografi pada zaman lampau. Dahulu, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang kuasanya luas melebar, sedang namanya termashur di pertengahan abad ke-12 (tahun 1150 M).

Bukti lain yang mengukuhkan kenyataan ini adalah hasil daripada pertemuan wang dinar di kawasan Kota Kubang Labu. Pada dinar tersebut terdapat nama Kelantan dengan sebutan “Al-Julus Kelantan” dan disebelahnya tertulis “Al-Mutawakkil” (keduanya ditulis dalam perkataan arab) dan juga ditulis tahun 577 H (dalam angka arab) iaitu 1181 M pada wang tersebut.

Penemuan dinar ini sekali gus membuktikan dengan jelasnya pengaruh agama Islam berkembang dengan baik sehingga dinar dan tulisan arab digunakan pada mata wang dinar oleh pemerintah pada ketika itu.

Catatan penggembara Itali, Marco Polo, dalam perjalanan pulang dari Tiongkok ke India pada tahun 1292M, beliau singgah di Kelantan iaitu di Lokak atau dalam sebutan Kelantan “Lokok” (To’ Lokok) yang terletak di pantai Kelantan.

Malah, catatan perjalanan Ibnu Batuta, penggembara Arab, pernah berlayar dari India ke Tiongkok pada tahun 1297M, beliau singgah di sebuah negeri bernama “Kilu Kerai” (Kuala Kerai) yang terletak di Ulu Kelantan). Malah Ibnu Batuta mencatatkan lagi, beliau menghadap seorang Raja Perempuan yang telah menganut agama Islam, disebut Urduja.


 

Rujukan:

Sa’ad Shukri bin Haji Muda, Detik-Detik Sejarah Kelantan, dengan pembaharuan dan tambahan oleh Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S), Kota Bharu: Pustaka Aman Press (1971).

Advertisements