Lebah oleh Assiri Thammachot

Cerita mengenai sebuah keluarga yang dilengkapi dengan seorang ibu dan dua orang anak lelaki. Wanita (Ibu) ini membaca kehidupan melalui kepercayaan terhadap buku tilikan nujum. Suatu hari, lebah hinggap dan membuat sarang di hadapan rumahnya. Beliau percaya dari buku nujum tersebut jika hal tersebut berlaku maka keluarganya akan ditimpa malang. Kemudian, beliau jatuh sakit sehingga tidak mampu berbuat apa-apa kerja. Anak lelakinya cuba memusnahkan sarang lebah tersebut dengan tanah liat yang sudah keras seperti batu, namun malang tidak berbau, lontarannya terkena adik lelakinya sehingga adik lelakinya jatuh pengsan.

Lebah akhirnya pergi meninggalkan rumah itu, wanita itu merasa segala kesedihan dan malang sudah hilang pergi bersama lebah tersebut. Benarkah lebah hadir membawa malang dan pergi begitu sahaja? Atau sebenarnya lebah meninggalkan sarang di rumah tersebut kerana sudah mengetahui bahawa angin monsun akan tiba lalu berpindah terlebih dahulu? Wanita itu masih mencari buku tilikam nujum tersebut tetapi anak lelakinya sudah membuangnnya. Wanita itu berkata “Biarkan sahajalah! Si Celaka!” sambil tersenyum kepada anak-anaknya. ‘Lebah’ cuba mengkritik kepercayaan masyarakat kepada perkara-perkara tahyul.

 

Hanya Yang Terdaya Oleh Wanita oleh Nikhom Raiyawa

Cerpen ini mengambil latar di Sungai Khong. Kisah seorang suami isteri yang kerjanya menjala ikan. Isterinya mendayung sampan dan suaminya menebar jala. Dalam keadaan sedang mendayung sampan, isterinya sakit seperti bukan kebiasaan sakitnya.

Jauh ke tengah sungai, di seberang Lao, ada peristiwa bunuh-membunuh berlaku pada setiap hari. Kapal terbang mengangkut butir-butir bom, mengebom beberapa kali sehari. Derita wanita yang sakit itu tidak boleh dibandingkan dengan kesakitan yang dirasai oleh nyawa manusia di Vietnam yang telah bertahun-tahun lamanya menderita dalam peristiwa khianat-mengkhianat yang membinasakan nyawa manusia. Suami isteri terlihat mayat manusia terapung-apung di dalam sungai. Mayat itu bengkak menggelembung. “Gambaran ini bukan baru lagi!”. Hanya Yang Terdaya Oleh Wanita cuba merasai penderitaan apa yang berlaku dalam perang di Vietnam pada ketika itu. Sakit kepala si Isteri walaupun baginya itu adalah sakit yang tahap luar biasa tiadalah tandingannya dengan kesakitan yang dirasai penduduk Vietnam.

 

Wau Berwarna Putih oleh Pramual Maniroch

Kisah adik beradik lelaki, abang digelar Kong, tidak tahun lebih tua dari adiknya Teng. Abangnya tidak minat hadir ke sekolah untuk belajar. Kong siap membuat wau berwarna putih dan beliau mahu terbangkannya dan menunjukkan kepada rakan-rakan sekolahnya yang beliau mampu menerbangkan wau walaupun bukan pada musim angin. Beliau mahu menunjukkan kepada umum akan bakatnya.

Kong masih di darjah empat, beliau banyak tidak hadir ke sekolah sehingga gurunya memberi amaran untuk datang ke rumahnya dan memukul. Kong seorang yang tidak pandai membuat kira-kira dan menulis. Namun sesuatu terjadi kepada waunya apabila terlepas dari tangan adiknya apabila Kong menyelamatkan adiknya daripada dilanggar oleh bas persiaran yang cantik datang dari bandar Bangkok.

Wau mereka tersangkut di dahan pucuk nibong. Kong berfikir sesuatu. “Otak kecilnya yang sangat bodoh bila berada di dalam bilik darjah itu sedang merancang sesuatu.” Kong memanjat pokok buluh yang agak lembut untuk memudahkan doa menghulur panjang tangannya untuk mencapai wau di pucuk nibong. Teng membantah “Kalau patah?” “Tak Patah” Kong membangkang dengan cepat sebelum adiknya sempat menamatkan kata-kata.

Kong berjaya mencapai wau, tetapi seluruh badannya tercucuk duri. ‘Apabila dia membuka matanya dua tersenyum bangga dengan kejayaannya. Air matanya berlinangan.”

 

Gelombang Yang Ganas oleh Phanom Nanthaphruk

Kisah On, seorang pelaut yang bermuka buruk kerana mempunyai garis parut yang panjang di mukanya. Ada sesuatu sejarah yang disimpannya melalui wajah tersebut. Beliau menemui cintanya Lamciak di Pulau Lipeh, Setul (sekarang dinamakan Satun). Semua tidak menyangka bahawa On akan menemui jodohnya dan semua terkejut bagaimana gadis sunti itu mampu menerima On sebagai suami.

Gelombang Yang Ganas cuba mengkritik bagaimana seorang pelaut yang besar menindas pelaut yang kecil (On) malah On pernah bekerja dengannya. Suatu hari On dan anak lelakinya menaiki perahu untuk ke sekolah anaknya bagi menjelaskan yuran sekolah yang tertunggak lama. Apabila perahu nya meluncur keluar tidak berapa jauh dari pengkalan, tiba-tiba sebuah bot datang dengan bahagian kepala perahunya yang terjongket dari kuala mara ke arah perahunya dengan laju. Perahu On terbalik, nasib baik beliau dan anaknya boleh berenang dengan cekap. Bot besar itu terus berlalu begitu sahaja.

On ke balai polis dan membuat laporan tentang kejadian yang terjadi. Beliau fikir akan dapat ganti rugi yang mampu menampung wang yuran sekolah anaknya, harga besi, zink dan sebahagian wang sakunya yang telah hilang akibat perahunya yang terbalik itu. Kejadian seperti ini bukanlah kali pertama berlaku, sudah banyak kali terjadi sebegitu dengan bot besar yang masuk ke pengkalan dengan laju dan mengakibatkan ombak besar.

On pergi bertemu dengan tauke bot tersebut dan meminta ganti rugi. Orang kampung berpesan kepada On ” Abang On! Jangan sekali-kali bertolak ansur dengan dia, buatlah tindakan yang keras sedikit. Dia sudah beberapa kali menganiaya kita.” Awalnya tauke tidak mahu mengaku itu adalah perbuatan anak kapalnya. Selepas On berkeras dengannya, tauke tersebut membuang dua ratus kepada On.

On naik marah, dan menampar muka tauke sehingga dia tumbang ke belakang bersama-sama kerusinya. On berlalu dari situ. Polis datang menangkap On atas kesalahan menyerang, pengkhianat dan pengugut.

Semangat setiakawan dan saling membantu ditunjukkan oleh rakan-rakan On dan orang kampung, Geran-geran tanah dikumpul sehingga cukup untuk menjamin dia keluar dari tahanan polis dan selesai pada petang itu juga. Hari ini, masih ada yang sanggup bergadai tanah untuk membantu orang?

 

Sebahagian Dari Lagu oleh Khomtuan Khamtanu

Kritik terhadap Bangkok kuat sekali dalam cerpen ini. Memaparkan kelompok miskin di kota Bangkok. Kisah nenek tua dan cucuya yang meninggalkan Sri Saket lalu merantau untuk mencari apa sahaja kerja untuk menyuapkan sedikit nasi kedalam mulutnya untuk menghilangkan rasa lapar. Itulah falsafah hidupnya.

“Pondok itu seolah-olah direka oleh satu arkitek yang sama: beratapkan zink-zink buruk yang diselangi dengan kepingan-kepingan  atap nipah yang usang, beg-beg plastik, kotak kertas yang kotor, dinding rumahnya pula daripada papan-papan camca yang bermacam bentuk. Semuanya tersembunyi di bahagian dalam, tidak berapa jauh dari pusat ibu kota. Keinsafan ini dilindungi oleh bangunan-bangunan yang besar tersergam yang menjadi dindingnya.”

“Keinsafan ini dilindungi oleh bangunan-bangunan yang besar tersergam yang menjadi dindingnya.”

Nei Seng, jiran nenek tua dan cucunya, juga seorang pengemis yang tinggal di pondok berdekatan. Nei Seng meninggalkan sawah padi dan berhijrah ke kota Bangkok seperti yang dilakukan oleh kawannya yang sama-sama berasal dari Isan. Nei Seng mempunyai isteri bernama Un. Seng akan merasa bangga apabila beliau membuka cerita mengenai isterinya walaupun isterinya menghidap penyakit kulit pada seluruh badannya.

Nenek tua mempunyai seorang cucu yang sakit. Dia keluar hendak membeli ubat. Kisah tidak berperikemanusiaan seorang penjual ubat di farmasi dimuatkan. Penjual mahu menghalau nenek tua ini dari masuk ke kedainya untuk membeli ubat tetapi kemudian dia mengambil ubat dan dijualkan kepada nenek tua ini dengan harga yang sudah dinaikkan beberapa bath. Nenek tua ini mati beberapa ketika selepas itu apabila beliau lari dari dikejar polis kerana bimbang ditangkap kerana meminta belas simpati dari warga asing. “Ubat dan darah telah bercampur baur meleleh di tanah”.

Cucu nenek tua pula mati pada malam itu selepas Seng memerhati pondok yang sunyi dari biasa. Kematian disebabkan kesakitan yang dihadapinya, neneknya pula mati tiada siapa yang tahu dan tidak sempat pulang untuk memberi cucunya makan ubat. “Seng melihat badan si kanak-kanak kecil yang terlantar itu gementar dengan keadaan tenat, dia pun melaung sekuat hatinya, mata si kanak-kanak kecil itu terbeliak seolah-olah hendak menghukum semua orang miskin yang tidak mahu mencelikkan mata.”

Isteri Un bersuara kepada Seng “Pahala karma budak ini cuma sebanyak ini sahaja yang ditunaikannya.”

“Engkau ingat begitukah?” Seng membalas, “Aku fikir, kitalah yang membuat dia begini.”

Begitulah kisah nenek tua dan cucunya menghabiskan sisa hidupnya dengan mampu mengemis di kota besar Bangkok yang akhirnya menemui ajal dengan begitu menyayat hati.

 


 

*Cerpen-cerpen ini dikumpul dan diselenggara oleh Rattiya Saleh dengan bantuan Sathaporn Srisaccang dan Sahe Abdullah al-Jufferi. Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul buku, “Cerpen-Cerpen Dari Negeri Thai 1969-1985”. Cetakan pertama 1987.

Advertisements