Nyawa dan Darah Daging oleh Phaitun Than-ya

Cerita tentang sebuah keluarga yang dihuni oleh dua wanita, ibu yang sedang mengandung dan seorang anak perempuan yang masih gadis. Wanita ini ditinggalkan suaminya setelah beberapa tahun berkahiwn. “Akibat cinta , perkara-perkara yang akan berlaku pada hari-hari muka itu semuanya dianggap aman, senang dan indah bak kelopak-kelopak mawar  yang mempesonakan dan menarik sesiapa sahaja yang ingin menikmatinya.”

Suatu hari, Ibunya akan memasak, disuruh anaknya untuk mengambil telur ayam di reban. namun telur-telur itu telah dimakan anjing. Mengamuk betul ibunya, diambilnya kayu sebesar lengan untuk memukul anjing tersebut yang sudah mencuri telur ayam peliharannya.

Hasrat untuk memukul anjing tersebut dibatalkannya kerana melihat anjing tersebut menyorok dibawah ruang timbunan kayu dan yang membuat luruh jantungnya apabila melihat anjing itu bersama beberapa ekor anak anjing yang masih kecil. Kayu yang diacu-acu dilepaskan dari genggamannya. “Kesedaran sebagai seorang ibu timbul dari lubuk hatinya. Dia sudah mengerti sekarang, dia mengerti mengapa si anjing kurap betina itu terpaksa mencuri telur ayamnya itu hampir setiap hari. Perasaan marah dan benci yang terbuku di hatinya itu semua luput. Pada saat itulah perasaan baru pula timbul. Perasaan yang paling lembut dan tenteram.”

Cerpen ini mengkritik halus sifat tidak bertanggungjawab, seorang lelaki digambarkan seperti jiwa seorang ‘binatang’. Kerana lelaki, hidup ibu dan anaknya menderita, mereka sekeluarga terpaksa berusaha meneruskan hidup dengan apa cara sekalipun. Jantan, anjing jantan yang meninggalkan anjing perempuan melahirkan anak-anaknya bersendirian.

“Apakah bezanya sangat… di antara seorang manusia lelaki dengan seekor binatang jantan. Untuk satu pihak dia dinamakan manusia sementara yang satu pihak lagi itu adalah haiwan… Tetapi baik manusia ataupun haiwan, kedua-dua mempunyai perangai yang sama sahaja… Perangai yang mementingkan diri sendiri dan mahu menerima sahaja…”

Luang Phi-Mae Dengan Nombor Ekor oleh Samrung Khampha-ud

Kisah seorang nenek tua yang membesarkan cucu-cucunya. Beliau duduk satu kampung dengan Luang Phi-Mae di Dong Krasu. Luang Phi-Mae menjadi popular dengan cepat apabila beberapa tilikan nombor ekor yang beliau jual mengena kepada ramai orang.

Cerpen ini mengkritik tentang masyarakat yang hidup dengan budaya menikam nombor ekor sehingga perkara bodoh yang menjadi ‘kebetulan’ menjadi sebuah kepercayaan hakiki. Diceritakan, isteri seorang suami membuang air berbunyi siiiii (nombor empat dalam bahasa Thai)… dan kentutnya berbunyi pedd (nombor lapan dalam bahasa Thai)… Jadi suaminya pun membeli angka 48. Kebetulannya, kayalah beratus-ratus bath.

Akhirnya nenek tua berhajat juga untuk menikam nombor ekor untuk beliau membeli peralatan sekolah untuk cucunya. Beliau pergi menemui Luang Phi-Mae meminta untuk memberi nombor bertuah. Tetapi Luang Phi tidak memberi nombor ekor malam memberi sehelai sampul surat yang berwarna putih dengan kandungan wang kertas bernilai seratus bath. Beliau tidak memberi nombor ekor yang dikatakan beliau handal dalam bab itu, tetapi beliau memberi wang untuk kegunaan harian!

 

 Masih Ada Satu Hari Lagi oleh Korn Kraillat

Kisan Pen, seorang gadis kampung yang dibawa ke kota Bangkok oleh pak cik nya untuk diberikan kerja yang lebih baik. Ibu Pen membenarkan beliau untuk mengikuti bapa saudaranya walaupun dalam hati Pen beliau tidak berkehendak untuk mengikuti ke kota Bangkok. Namun kerja yang dijanjikan itu sebenarnnya menjadi seorang pelacur!

Melalui watak Pen, penulis mengemukakan kritik terhadap kerja seorang polis dan kemanusiaan warga Bangkok terhadap gadis-gadis ‘pelacur’. Pen pernah mengambil keputusan untuk melarikan diri dari tempat beliau bekerja, tetapi Pen diheret balik, dia menjerit meminta tolong tetapi orang yang nampak itu cuma berdiri menyaksikan sahaja kemudian mereka berlalu begitu sahaja.

Suatu hari, dia dilanggan oleh seorang polis, Pen meminta tolong agar beliau dapat keluar dari tempat beliau bekerja. Polis itu berjanji dengan syarat Pen dapat memuskan kehendak nafsunya. Namun ia menjadi sebuah janji kosong, polis itu menghilang juga. Beberapa hari kemudian Pen mendapat tahu cerita sebenar tentang polis, mereka dapat tidur dengan mana-mana perempuan dengan percuma  malah polis-polis ini akan dibayar dengan sejumlah wang yang agak besar pada tiap-tiap bulan.

Pen sudah tidak mengharapkan kepada sesiapa untuk beliau meminta tolong, beliau cuma mengharapkan kepada dirinya sendiri.

“Orang yang cerdik akan merampas peluang daripada orang yang lebih bodoh daripadanya. Orang yang berkuasa menindas dan merebut-rebut peluang daripada orang yang lebih lemah daripadanya. Ikan yang besar menelan ikan yang kecil. Andainya hendak mengharapkan ikan yang besar dapat menolong ikan yang kecil, memanglah sukar.”

Tragedi membunuh berlaku di tempat kerja Pen. Beliau membunuh lelaki yang membuat perbuatan kasar terhadapnya atau lebih tepat cuba merogolnya. Pen dibawa ke balai polis dan itulah kali pertama beliau keluar daripada hotel tempat kerjanya dan dapat menghirup udara kota Bangkok. Polis memberitahunya, beliau akan dipenjarakan kerana beliau telah membunuh orang, dipenjara bertahun-tahun. Pen bertikam lidah dengan polis untuk menegakkan haknya. “Mengapa pula polis tidak menangkap dan memenjarakan? Malah sebaliknya memberi kawalan pula kepada mereka. Menerima wang dari mereka…”

Pen dibawa masuk ke lokah. “Undang-undang tidak adil” Pen menjerit. “Polis tidak patuh pada undang-undang.”

 

Kami Cucu Orang Miskin oleh Khomsan Phongsutham

Cerita sebuah keluarga. Anak lelaki mereka dihantar untuk menjadi sami di wat. Dalam keadaan keluarganya yang miskin dan ayahnya sentiasa sakit mengusarkan hati orang muda ini untuk berlama-lama menjadi seorang sami.

Berbulan-bulan lamanya orang muda ini mempelajari ilmu agama sehingga membanggakan gurunya, namun desakan hatinya yang ingin membantu ibunya bekerja membawa beliau untuk membuat keputusan untuk berhenti dan keluar daripada sami. “Dia merasa sedar bahawa dia itu adalah anak ibunya yang menjadi anak cucu orang miskin, kais pagi makan pagi dan kasi petang makan petang.”

 

Sekuntum Bunga Matahari oleh Senee Sawwaphong

Penyelidikan terhadap tumbuhan dan bunga sedang giat dijalankan oleh beberapa orang pegawai kesihatan, beberapa anak semaian bunga matahari ditanam untuk melihat hasil dan menjadi uji kaji. “Achan Somsak mengatakan bahawa dia ingin menggalakkan penanaman pokok bunga matahari kerana harga minyaknya sangat baik di pasaran dunia.”

Siapa sangka, salah satu benih bunga matahari membesar dengan luar biasa, semakin hari semakin tinggi dan besar pokoknya. Ia menjadi sesuatu yang anek kepada masyarakat kampung pada ketika itu. Hal ini berlarutan sehingga orang kampung membuat pokok itu menjadi dewa dan menyembahnya dengan begitu takjub sekali. Cerita-cerita tahyul mula tersebar dikalangan masyarakat kampung.

Akhirnya menjadi pergaduhan besar antara orang kampung yang memuja pokok bunga matahari dan pihak berkuasa yang ingin menebang pokok tersebut kerana mahu membubarkan perkumpulan pemujaan orang ramai. Perancangan penyelidikan untuk bunga matahari berakhir begitu sahaja. “Entah berapa lama lagi bidang penyelidikan terpaksa mundur.”

 


 

DSC07830*Cerpen-cerpen ini dikumpul dan diselenggara oleh Rattiya Saleh dengan bantuan Sathaporn Srisaccang dan Sahe Abdullah al-Jufferi. Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul buku, “Cerpen-Cerpen Dari Negeri Thai 1969-1985”. Cetakan pertama 1987. Karya-karya cerpen dari penulis-penulis yang muda pada zaman cerpen ini ditulis mendorong golongan massa menunjuk perasaan dengan besar-besaran di Kota Bangkok pada 14 Oktober 1973.

 

Advertisements