Beliau mula menulis sejak tahun 1953 Dalam dunia penulisan kreatif, beliau lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan berbanding nama sebenarnnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya). Beliau telah menghasilkan sebanyak 182 buah cerpen, 364 buah esei/kritikan, 12 buah novel dewasa dan 4 buah novel remaja.

Antara karya novelnya: Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2001). Tulisannya banyak membincang soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.

Baca juga Novel Kota Bharu karya S. Othman Kelantan memaparkan idealisme politik yang kita namakan ‘atas pagar’.

Beliau dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (1979) dan Ijazah Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

S. Othman pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia selama dua tahun setelah lulus Ijazah Sarjana. Pada tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Beliau menyandang gelar Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kemudian menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina. Beliau juga giat dalam kerja-kerja berpersatuan iaitu Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) bagi sesi 1973-1976, Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan.

Teks kesusasteraannya sering menerima penghargaan seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

Almarhum S. Othman Kelantan ada mengkritik pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada tahun yang sama ketika menerima Anugerah Sasterawan Negara dari Yang di-Pertuan Agong pada 2003.

Beliau meninggal pada 11.45 malam pada 31 Julai 2008 di Hospital Serdang kerana kerumitan serangan sakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Serdang selama dua minggu akibat sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah. Jenazah beliau disimpan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor. Al-Fatihah.


 

Bibliografi

  1. et. al. Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2012). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  2. https://ms.wikipedia.org/wiki/S._Othman_Kelantan
Advertisements