Wayang adalah sesuatu yang sinonim di negeri Kelantan sejak lama dahulu lagi, Wayang dahulu dan hari ini hanya berbeza pada konsep persembahannya sahaja. Walaupun industri perfileman semakin berkembang maju di negara kita dan sudah tentu saja tidak lagi menggunakan peralatan wayang kulit yang sudah menjadi leluhur kebudayaaan, namun kedua-duanya yang di dalam bentuk kulit dan skrin juga kekal digelar ‘wayang’ dalam cakap-cakap orang kita.

Abdullah Ibrahim atau dikenali dengan gelaran Dolah Baju Merah memberitahu tentang simbolisme ritual Pohon Budi setiap awal dan akhir dalam persembahan wayang kulit, “In wayang there is no past, present or future. There is only renewal.” Berikut catatan dari wawancara yang didapati oleh Edin Khoo yang telah dimuatkan di dalam bukunya, Spirit of Wood: The Art of Malay Woodcarving. “Dalam wayang tiada yang dahulu, tiada yang akan datang, yang ada hanyalah seiring pembaharuan.”

Dahulu, Di Pasir Putih ada panggung Rama, manakala Kota Bharu ada Lido, Odeon, Rex, Meena/Mina, Sultanah dan Rani. Di Kuala Terengganu juga pernah ada, iaitu Rex dan Cathay. Di Jerteh, pernah wujud panggung wayang, Bajar Cinema milik Bajuria. Malah, kita tahu lebih tentang Bajar Cinema yang dikisahkan oleh Hatta Azad Khan.

Ini tidak terkecuali di Wakaf Siku, wujudnya pusat hiburan yang menjadi pusat utama, Biaritz Park. S. Othman Kelantan, menulis di dalam novelnya Orang Kota Bharu,

“Kota Bharu juga sebuah kota resah gelisah. Dalam situasi kemurnian pengajian Islam yang merata dan kehiruk-pikukan pasar besar, dengan sengaja Kota Bharu meruapkan nafas resah dan denyut dan debaran berahi. Di Wakaf Siku, pada muara pertemuan empat jalan raya, tersergam sebuah syurga berahi yang dinamakan Biaritz Park, atau orang Kota Bharu menyebutnya dengan nama show atau dialek Kelantan dengan so saja. Nama Biaritz, ejaan asalnya Biarritz diambil daripada nama sebuah Bandar berdekatan sebuah teluk di Perancis. Penduduknya kira-kira 30 000 orang, asalnya perkampungan nelayan. Tetapi pada abad ke-19, Biarritz dibangunkan menjadi sebuah kota pusat hiburan terbesar. Nama inilah, Biaritz Park, dibina di Kota Bharu, dan disamakan oleh kebanyakan orang luar Kelantan dengan nama Paris Malaya.”  (hlm. 15)

Daripada Biaritz Park ini, wujud lagi pusat-pusat kecil dengan kegiatan yang sama di Jalan Tok Hakim, Jalan Pasar Lama, Lorong Cik Kadir, Lorong Toa, Lorong Cik Su, Lorong Belakang Kota dan ada juga di rumah rakit yang terletak di tebing sungai Kelantan. Berhampiran Biaritz Park, pawagam Mina berdiri kukuh dengan penontonnya yang sentiasa ramai, terutama pada waktu malam. S. Othman Kelantan menulis begini,

“Sebuah pawagam, Mina namanya, dibina berhampiran Biaritz Park. Pintu keluarnya dihalakan ke dalam Biaritz Park. Setiap penonton akan berada dalam kawasan Biaritz Park sebaik sahaja mereka habis menonton wayang termasuk kanak-kanak juga. Mereka menggunakan satu tiket untuk dua pertunjukan yang berlainan. Pawagam Mina sentiasa penuh, terutama tayangan malam hari. Penonton akan bergembira setelah keluar pawagam. Mereka akan menemukan sesuatu di Biaritz Park.” (hlm. 16,17)

Filem atau wayang yang kita tonton adalah sesuatu yang subjektif. Ia tidak boleh difahami dengan adanya jawapan a,b atau c secara objektif dengan sehala sebegitu. Jika filem dinilai berdasarkan objektif sudah tentu penilaiannya tidak produktif. Namun filem adalah sesuatu yang bersifat subjektif untuk dinilai. Ia perlu dinilai pada kesemua sisi yang dipaparkan dilayar. Yasmin Ahmad mengesyorkan agar ‘Rasa’ menjadi bahan penting untuk menilai sesebuah filem, malah baginya, rasa adalah sesuatu yang boleh dianalisis secara intelektual. Rohani Hashim berpendapat, filem adalah satu bentuk seni yang kompleks.

 

Baca juga bagaimana persepsi orang ramai terhadap filem Jejak Warriors

 

Atas kefahaman Maqasid Syariah, TG Nik Aziz telah menghentikan wayang di Kelantan sejak 1990 dan sehingga sekarang ia menjadi ketidakboleh pasaran di negeri ini. Dalam konteks ini, jika orang filem membuka pentas wacana dan wujud kecaman keatasnya, ia tidak boleh senada hanya kepada kerajaan negeri (baca: PAS) sahaja tetapi harus juga mengkaji tentang permintaan penonton pada ketika itu. Dua perkara yang saya temui dalam hal ini, ‘pengharaman’ bukanlah berlaku secara mutlak oleh kerajaan negeri malah ia sedikit-sedikit, perlahan-lahan dan penonton yang berkurangan menyebabkan panggung wayang rugi dan akhirnya ditutup. Jika keputusan berikut berkehendak kepada Maqasid Syariah, hari ini ia perlu dilihat kembali untuk manfaat bersama.

Namun, dunia hari ini, filem tidak boleh ditolak mentah begitu sahaja. Ya, mungkin saja ada yang menolak mentah melihatkan kepada filem yang dijana untuk suka-suka dengan kualiti yang rendah sekali. Pun begitu, tetap ia tidak boleh dilakukan secara semborono begitu sahaja atas rasional melihatkan kepada terdapat filem yang secara tidak langsung memberikan pendidikan kepada penonton. Pendidikan itu suatu proses fikir, jadi mana-mana filem yang membuatkan kita ligat berfikir itu ini sehingga melahirkan wacana baru, sudah tentu ia baik sekali bukan. Maka, dalam hal ini, bukanlah pengharaman (baca: ketidakboleh pasaran di Kelantan) yang perlu dilakukan, tetapi mendedahkan bahawa karya filem yang baik itu berlambak untuk ditonton.

Kita sendiri (Malaysia) tidak kurang hebatnya, filem yang mengaut keuntungan 17 juta, The Journey berjaya menjadi penanda aras baru kepada industri filem kita. Hanyut yang dijana dengan 18 juta wajar juga menjadi penanda aras untuk mutu filem bertaraf antarabangsa. Terbaik Dari Langit dan KIL berjaya membuka mata, bahawa idea dan bakat orang-orang baru dan muda jangan dipandang sebelah mata sahaja. Jogho, Bunohan dan Wayang berjaya mengangkat loghat atau dialek Kelantan (baca: negeri) untuk menjadi tontonan seluruh negara, malah ke peringkat antarabangsa juga serta membuktikan lagi bahawa, filem boleh meletakkan kita semua dibawah satu bumbung. Mungkin tidak cukup saya senaraikan kesemua filem di sini.

 

Baca juga Siapa menang di Festival Filem Malaysia ke-27 baru-baru ini

 

Malah, negara jiran kita, Indonesia yang filemnya menang ditempat sendiri. Sang Pencerah, Laskar Pelangi, Negeri 5 Menara, Soekarno, Habibi & Ainun, Sekola Rimba, Pendekar Tongkat Emas, Guru Bangsa Tjokroaminoto, 99 Cahaya di Langit Eropa, Tanda Tanya, Cahaya Dari Timur Beta Maluku, Perempuan Berkalong Sorban dan lain-lain. Ada antaranya filem yang terhasil dari cerita asal yang bermula dari kosong, malah tidak kurang juga yang menyerlah hasil dari kekuatan buku yang diangkap (diadaptasi).

Dalam konteks filem adaptasi, kita harus lontarkan ini, apakah sastera kita (Malaysia) begitu kuat untuk diadaptasi karyanya ke layar lebar?


Bibliografi

Hatta Azad Khan. Teater Filem dan Pengurusan Seni. (KL: DBP. 2014)

S. Othman Kelantan. Orang Kota Bharu. (KL: DBP. 2005)

Fadli al-Akiti. Tonton Filem. (KL: RA Fine Arts. 2013)

Rohani Hashim. Sinema dan Masyarakat. (KL: DBP. 2015)

Featured Image, https://faqirullah1958.wordpress.com/category/kota-bharu-lama/

Advertisements