“Ranah kritisme seharusnya menjadi suatu ruang demokratik apabila adanya partisipasi untuk engagement yang terbuka untuk semua. Sekiranya suatu budaya kritis mahu dibangunkan, terlebih dahulu kita pastikan keperluan perbincangan yang ikhlas (genuine), di mana hujah dari autoriti mutlak dan penegasan dogmatik yang berdasarkan intuisi tidak dibenarkan.”  – Azhar Ibrahim[1]

Penulisan (buku atau bukan buku) dan wacana adalah suatu hal yang tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ianya diibaratkan seperti isi dan kuku. Perbincangan terhadap sesuatu tulisan (buku) adalah jalah untuk membangunkan wacana. Namun, wacana juga timbul kerana isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat. Kelantan sejak sekian lama tidak mati dengan wacana. Sehingga hari ini, Kelantan masih konsisten dengan wacana. Persoalannya wacana yang macam mana masih bertahan di negeri Kelantan ini?

Wacana yang berlaku di Kelantan, hanyalah wacana politik. Abdul Razak Mahmud[2] dalam program Bicara Tokoh menjelaskan, bagaimana wacana politik menjadi wacana yang begitu popular di Kelantan hari ini,

Sebenarnnya suasanalah yang membentuk kita. Bagaimana Kelantan boleh menjadi sebuah negeri yang gemilang dengan proses persuratan sebelum ini adalah disebabkan suasana yang digerakkan dan dimainkan peranan oleh rakyat itu sendiri. Berbeza dengan hari ini, Kelantan sudah malap dalam persuratan sehinggakan wacana-wacana politik menjadi popular dan mengambil ruang-ruang di sekitar Kelantan.[3]

Jadi, fahamlah kita, Kelantan menjadi begini hari ini disebabkan politik yang sudah mengambil kesemua ruang di Kelantan, sehinggakan tiada lagi ruang untuk perbincangan persuratan sastera di negeri Kelantan ini. Dalam meneliti kenyataan sebegini, bolehkah kita mempersoalkan kembali slogan, Kelantan: Universiti Politik Terbuka?

Sekitar akhir tahun 1999, beliau mencatatkan keresahannya dalam dunia persuratan:

“Inilah kenyataan yang ada di hadapan kita sekarang, semuanya sudah pada memudar dan malap. Amat disayangkan kalau diingat bahawa kita sudah memulakan tradisi ini dengan baik. Untuk selama satu abad, tradisi persuratan dan keilmuan ini telah kita bangunkan sambung bersambung. Ramai tokoh yang telah mengambil bahagian. Banyak karya tulis telah dihasilkan. Dan dengan dibantu oleh beberapa syarikat percetakan yang sengaja dibangunkan bagi memudahkan prasarana cetak; negeri Kelantan (Kota Baru) telah muncul menjadi antara pusat penerbitan dan persuratan Islam yang dihormati di Tanah Semenanjung. Sayangnya, menjelang akhir abad yang sama, tradisi ini menjadi malap, pudar dan malahan sirna. Meskipun hari ini terdapat ramai ilmuan lain, tetapi mereka tidak menulis.” [4]

Partisipasi penulis-penulis Kelantan yang melalui hasil karya fiksyen atau bukan fiksyen telah mengambil manfaat darinya untuk menyampaikan kritikan-kritikan sebagai tanggungjawab sosial untuk menyedarkan masyarakat dan memupuk wacana kritis ke dalam kelompok masyarakat sekitar. Ini dapat disaksikan melalui tulisan Abdul Kadir Adabi dalam Melati Kota Bharu, Sebelas Rejab, tulisan S. Othman Kelantan dalam Wajah Seorang Wanita, Juara, Orang Kota Bharu dan banyak lagi karya sastera yang mengambil peluang untuk membangunkan kritik sosial melaluinya.

Pada 25, 26 dan 27 februari 2016 akan berlakunya acara Kota Bharu Hok Kita iaitu sebuah Pesta Buku Alternatif dan Kota Bharu Literary Festival bakal diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Festival ini akan diadakan di KB Mall, bermula dari pukul 10 pagi sehingga 9 malam.

Apa yang menarik, inilah acara yang julung-julung kali diadakan di Kota Bharu dengan adanya wacana-wacana sastera dan jualan buku dalam satu festival. Apa yang ditunggu dan diharapkan selama ini akhirnya bakal berlaku. Kita sedia maklum dengan buku-buku pilihan anak muda kini yang dipopularkan genre sebagai Indie atau lebih tepat sebagai buku alternatif. Apa yang lebih penting dari itu, sastera (pengisian buku) itu sendiri haruslah menjadi releven untuk diwacanakan. Faisal Tehrai berpendapat, karya sastera yang relevan adalah dengan karya itu sendiri menjadi medan untuk membantu orang tertindas, ditekan, dinafikan hak asasinya.[5]

Kota Bharu Hok Kita adalah sebuah festival terbuka dan percuma untuk semua. Penganjur utama diterajui bersama syarikat penerbitan Puteh Press, Dubook Press dan kedai buku SMO Bookstore dengan kerjasama syarikat-syarikat penerbitan buku alternatif yang lain dan juga Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB). Fesival ini nanti akan diisi dengan 10 wacana sastera bersama dengan penulis dan penerbit, dua acara pelancaran buku baru, satu acara puisi dan tiga persembahan kebudayaan serta busker.

Dengan berlangsungnya acara ini, kita berharap agar pembaca sastera bukan sekadar membaca tetapi dalam masa yang sama membangunkan wacana-wacana sastera dengan lebih giat dan membumi, dengan itu anak muda di sana (Kelantan) boleh membangun dengan intelektual yang baik dan berlaku emansipasi dalam lapangan kerja sosial dengan menghubungkan sastera sebagai jalan yang mampu bersuara untuk kemanusiaan.

Jikapun terlalu melangit untuk kita berharap Kelantan dalam mengembalikan kegemilangan persuratan seperti dahulu, sekurangnnya para anak muda dapat meneruskan pembaikan dalam persuratan dan wacana. Perkara ini tidak mudah, anak muda ini harus memikul pencerahan yang baik buat dirinya.

Immanuel Kant dalam Beantwortung der Frage: Was ist Aufklarung?  (“Jawapan kepada Soalan: Apa itu Pencerahan?”) mentakrifkan pencerahan untuk kita fahami sebagai:

“Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang sendiri dipikul. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahamannya tanpa panduan orang lain. Ketidakmatangan ini adalah sendiri dipikul apabila sebabnya bukanlah kekurangan dari segi kefahaman, tetapi kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakannya tanpa panduan orang lain. Sapare aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri! Itulah cogan kata Pencerahan.”[6]

[1] Azhar Ibrahim “Tradisi Kritis dalam Pemikiran Keagamaan dan Keintelektualan Muslim” dlm  Tafkir: Jurnal Pemikiran Kritis Keagamaan dan Transformasi Sosial. (Singapore: Leftwrite Centre, The Reading Group, Edisi 1, No. 1, 2009) h. 8

[2] Abdul Razak Mahmud atau nama penanya Ahmad Fathy al-Fatani. Isterinya berasal dari Patani, manakala nama samaran yang digunakan oleh beliau pada beberapa buku tulisannya merupakan nama anaknya yang pertama yang dilahirkan di Patani. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Razak berkhidmat di  Jabatan Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertanggungjawab menerbitkan Majalah Dewan Masyarakat. Selepas berhenti di Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau pulang ke Kelantan dan dijemput oleh Zaki Yusof untuk menjadi penolong penerbit dalam menerbitkan majalah Pengasuh.

[3] https://asriyussof.wordpress.com/2015/01/21/bicara-tokoh-abdul-razak-mahmud/

[4] Abdul Razak Mahmud et. al. Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemikiran dan Karya (Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 2009) h. 362-363

[5] https://www.malaysiakini.com/columns/328317

[6] Immanuel Kant, diterjemah oleh Pauline Fan.  Apa itu Pencerahan? (KL: Institut Kajian Dasar, 2006) h. 16

Advertisements