“Kita menuntut perubahan nasib, sebab tiap yang lemah, kuat ia, tiap yang kecil, besar ia, tiap yang sedikit, banyak ia, tiap yang rosak, baik ia, tiap yang hina, mulia ia, tiap kehambaan, merdeka ia. Kita tidak boleh terputus asa, dan sebagai tangga untuk merubah nasib ialah dengan ilmu, berani, sabar, berakhlak dan benar.” – Abdul Kadir Adabi

Sastera, dari lahir seorang anak sehingga mati ia, dengan berulang-ulang kelahiran dan kematian, sedari itu sastera tidak pernah mati dan meninggalkan manusia. Ia tetap hadir menjadi pendamping manusia untuk bersuara saat dicekek, bertindak bila ditindas, dan tetap bergerak dalam gelap. Itulah kuasa sastera. Lebih berkuasa dari kuasa orang politik.

Kelantan pernah diletakkan sebagai negeri ke-2 selepas Singapura dan Pulau Pinang negeri ke-3 yang paling rancak menjadi pusat penerbitan dan percetakan buku serta wacana-wacana begitu aktif dan membangun dalam tahun 1876-1941, malah dalam satu kajian yang lainnya, Kelantan diletakkan pada tangga kelima selepas Singapura, Pulau Pinang, Johor dan Perak, sebagai negeri penerbit majalah terbanyak iaitu 12 judul.[1]

Hamka pernah hadir ke Kelantan pada tahun 1967 dan meminta untuk bercakap sambil duduk di padang merdeka, Kota Bharu[2]. Malah, selain Hamka, Kahar Muzakar, tokoh MASYUMI Indonesia turut pernah hadir di Kota Bharu. William R. Roff pernah menyampaikan pesan di dewan Majlis Belia. PAS pada ketika itu pernah menjemput Dr. Syed Hussein Alattas, alattas mencatatnya dalam buku Siapa Yang Salah Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu[3] tentang jemputan itu.

Diantara tahun 1941-1965 merupakan zaman puncak kegiatan penerbitan dan percetakan buku serta majalah.[4] Kewujudan Pustaka Dian, Pustaka Aman Press, Muslim Printing Press, al-Ahliah Press memainkan peranan yang penting dalam menyemarakkan proses penerbitan buku di negeri Kelantan.

Malah sebelum era 50’an lagi, iaitu sejak 30’an persuratan di Kelantan sudah mula bergerak memberi kesedaran, pencerahan dan keilmuan kepada masyarakat. Al-Kamaliah Matbaal, Majalah al-Riwayah, Majalah Al-Hikmah yang digerakkan oleh Ishak Lutfi bin Omar (yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1959 sehingga 1964), Majalah Pengasuh, Majalah Suara Muda pernah digerakkan oleh Asri Muda (yang kemudiannya menjadi Menteri Besar pada tahun 1964 sehingga 1973).

Manakala pada era 60’an, wujudlah Majalah Dian yang digerakkan oleh Yusuf Zaki. Majalah Dian menyentuh konteks kemasyarakatan, bahasa dan sastera, terjemahan cerpen dari majalah arab Al-Hilal. Dian dipersembahkan dengan dwitulisan, rumi dan jawi. Dalam beberapa siri terbitan majalah Dian, perbahasan mengenai bahasa dan fokus kepada tulisan jawi begitu rancak sekali.

Apa yang kita dapati dahulu, Kelantan hari ini bukan lagi seperti wajah yang lama yang ruangnya diisi dengan sastera. Di Kelantan, Sastera tidak lagi dipandang sebagai jalan untuk menyedarkan umat. Barangkali, mereka (orang politik) lupa bahawa al-Quran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah sebuah teks sastera yang paling agung. Al-Quran diawal kedatangannya telah berjaya mengetengahkan golongan kelas bawahan sebagai isu evergreen yang terus menjalar dan tidak akan mati.

Walaupun sastera boleh berdiri dengan sendiri, (malah sebenarnya lebih baik begitu tanpa adanya campur tangan ahli politik kerana sastera boleh bersuara lebih lantang) namun, jangan lupa kita, tanggungjawab ahli politik tidak sekadar membangun rumah mewah, bertingkat dan menjadi tulang belakang kapitalisme, malah mereka dipertanggungjawabkan lebih dari itu. Tugas orang politik juga, menyokong pembangunan sastera dan membebaskan ia untuk terbang, sehingga ia betul-betul menjadi idealis, relatif dan sampai kepada masyarakat.

Sokongan dari ahli politik (baca: pemerintah) yang kita mahukan bukanlah seperti apa yang telah mereka perlakukan keatas beberapa buah karya, dengan mengharamkannya. Arahan pengharaman tidak boleh disebut sokongan tapi ia adalah campur tangan yang akhirnya memandulkan sastera itu sendiri. Kelahiran semula Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015 selepas ia mati selama 12 tahun, pada 2003  adalah sokongan yang selayaknya untuk para pengkarya, malah kita berharap majlis sedemikian diteruskan setiap tahun.

12294879_441015759421880_3972717142158055209_n
Fatimah Busu, Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015

Walaupun sebelum ini, Anugerah sedemikian hanya menjadi janji manis ketika mendekati pilihanraya yang akhirnya tidak dilangsungkan. Malah bukan setakat Anugerah Sastera, kita berharap lebih dari itu. Suka untuk diingatkan sekali lagi, sokongan yang dimaksudkan bukanlah campur tangan sehingga mandul ia dan menutup pintu kebebasan berkarya.

Kemunculan penerbitan-penerbitan buku indie (baca: buku alternatif) menyemarakkan sastera di Malaysia yang sekali gus dibualkan ramai orang sebagai genre yang menyimpang dari karya-karya popular yang menjadi lambakan sebelum ini. Masyarakat sudah membuka mata untuk membaca karya-karya alternatif ini, kerana ia lebih mendekatkan masyarakat kepada masyarakat dengan isu-isu yang diangkat, karya seperti Kunang Pesisir Mortem, Bagaimana Anyss Naik ke Langit adalah contohnya. Untuk dibandingkan dengan Suami Aku Ustaz, Tuan Anas Mikael, Suamiku Encik Sotong atau Cinta si Wedding Planner jauh panggang dari api.

Flyer A5_KB HOK KITO-01Pada 25,26 dan 27 februari 2016 ini, kumpulan penerbit indie akan berkumpul di Kota Bharu untuk menjayakan acara Kota Bharu Hok Kita iaitu sebuah Pesta Buku Alternatif dan Kota Bharu Literary Festival yang akan berlangsung di KB Mall, bermula dari pukul 10 pagi sehingga 9 malam. Sebanyak 10 wacana sastera bersama dengan penulis dan penerbit, dua acara pelancaran buku baru, satu acara puisi dan tiga persembahan kebudayaan serta busker bakal mengisi Kota Bharu Hok Kita.

Ayuh anak muda Kelantan, kita berkumpul bagi menguak pintu yang lebih terbuka dan bebas untuk berkarya.

 


 

[1] Muhamad Mahmud, “Percetakan dan Penerbitan Buku Melayu di Kelantan (1901-1975),” dalam Abdul Razak Mahmud (et. al)Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemiikiran dan Karya. Kota Bharu, Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd, 2009, h. 205

[2] Temuramah dengan Abdul Razak Mahmud

[3] Terbitan 1974, oleh Pustaka Nasional Singapura.

[4] Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemiikiran dan Karya, h. 13

Advertisements